Suatu hari, seorang bapa dari sebuah
keluarga yang kaya raya membawa anak lelakinya ke dalam sebuah kampung dengan
tujuan menunjukkan kepada anaknya itu kehidupan orang-orang miskin. Mereka bermalam selama beberapa hari di
sebuah ladang yang didiami oleh golongan yang sangat miskin.
Di dalam
perjalanan pulang, si ayah bertanya kepada anaknya, "Macam mana percutian
kita kali ni?"
Si anak menjawab, "Menarik dan hebat,
ayah,"
"Kamu sudah melihat sendiri bagaimana
susahnya kehidupan mereka yang tidak berharta?"
"Ya,"
Bertanya lagi si
ayah, "Jadi, apa yang kamu dapat kali ni?"
Lalu si anak tadi
memberikan jawapan yang agak panjang,
"Kita ada
dua ekor anjing dan mereka ada empat. Kita ada kolam yang terletak di tengah-tengah
taman tetapi mereka mempunyai sungai yang tidak berpenghujung. Kita ada lampu
yang diimport di taman kita tetapi mereka ada bintang-bintang di langit pada
waktu malam. Keluasan tanah kita sehingga ke halaman hadapan tetapi mereka
mempunyai keluasan sehingga ke kali langit,"
"Kita
tinggal cuma di atas tanah yang kecil sedangkan mereka mempunyai padang yang
sangat luas saujana mata memandang. Kita ada pembantu untuk membantu kita
tetapi mereka memberi pertolongan, bukan meminta. Kita membeli makanan kita
tetapi mereka menanam sendiri makanan mereka. Kita ada dinding sahaja untuk
melindungi kita sedangkan mereka mempunyai sahabat handai yang melindungi
mereka,"
Si ayah terdiam
mendengar jawapan anaknya. Si anak tersebut kemudiannya berkata, "Terima
kasih, ayah, kerana menunjukkan kepada saya betapa miskinnya kita,"